BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Bismillah

~ Jalan MUJAHADAH itu pahit....kerana SYURGA itu manis......~

Monday, June 14, 2010

~Buang Anak Makin Bermaharajalela!! ~

Inilah isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang diMalaysia..ana terpanggil untuk membincangkan sedikit mengenai permasalahan yg sedang hebat melanda negara kita...kes2 buang anak makin kerap dipaparkan dimedia massa mahupun media elektronik..masyaAllah...kes ini boleh disamakan dengan kes bunuh yg lain...mengapa ini boleh terjadi? bukankah anak itu anugerah Allah yg teragung? kemanakah hilangnya nilai2 kemanusiaan? adakah kesalahan diri sendiri, bayi yg tidak berdosa itu menjadi mangsa?? nauzubillah.....disini ana selitkan beberapa info yang dapat ana kongsikan bersama2.....

ini adalah artikel yg ditulis oleh seorang Peguam Syarie :

Peguam Syarie Menulis - Buang Anak


Sebak sedih terharu marah geram dan pelbagai-bagai lagi perasaan menyelubungi diri ini apabila melihat gambar bayi comel yang dihurungi semut di dalam dada-dada akhbar beberapa hari ini. Lebih menyesakkan dada apabila dua hari lepas dipaparkan pula kejadian dahsyat tanpa perikemanusiaan di mana seorang bayi dicampakkan ke dalam tong sampah dan dibakar di Kuala Krai, Kelantan. Kejadian ini amat kejam dan kejadian tersebut adalah kejadian keempat kes buang bayi yang dilaporkan sepanjang minggu ini sahaja

Isu buang bayi ini bukanlah isu baru, dahulu ia pernah hangat seketika kemudian kembali senyap tetapi kini semakin menjadi-jadi. Sebelum dari ini kita banyak mendengar berita beberapa kejadian dengan banyaknya penemuan bayi tidak berdosa, kebanyakannya hanya tinggal jasad, dengan litupan hanyir sampah sarap dan gigitan semut merah.

Kita membaca lagi berita mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang - seorang daripadanya lelaki, ditemui di depan pintu tandas wanita di tingkat satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar). Mayat bayi kedua masih masih lagi berdarah, terapung di perangkap sampah dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun.

Perangkaan ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (pada 2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah tahun lalu, 79 kes membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat lagi kes pembuangan janin.Perkara ini bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan ianya harus dipandang serius permasalahan ini kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga.

Dalam kita membincangkan kes buang bayi ini kita tidak dapat lari dari isu anak luar nikah. Di dalam membincangkan isu anak luar nikah ini pula kita tidak dapat lari dari persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini. Justeru itu untuk membendung permasalahan seperti ini dari terus terusan berleluasa maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina ini harus ditutup serapat-rapatnya. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya di dalam surah Al-Isra ayat 17 yang bermaksud Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”.

Ayat di atas secara jelas menyentuh tentang zina di mana umat Islam adalah dilarang melakukan zina kerana kesannya dalam masyarakat adalah amat buruk. Kesannya bukan sahaja kepada individu tersebut malahan kepada masyarakat kerana kesannya akan memberi impak kepada keturunan, malah ianya juga boleh mengundang kepada jenayah lain seperti membunuh. Ini yang berlaku hari ini di mana bayi yang lahir dari perut ibunya sanggup dibunuh dengan kejam dengan membakar bayi tersebut dengan tanpa belas kasihan bagi tujuan menghilangkan bukti kononnya.

Secara tidak langsung ianya menggambarkan perlakuan pelakunya adalah suatu tindakan kebinatangan yang harus dibendung dengan segera. Malahan tindakan tersebut lebih buruk dari binatang kerana ada binatang yang menyayangi anak mereka.

Justeru itu tindakan yang proaktif harus di ambil oleh semua pihak kami membendung gejala ini diperingkat akar umbi. Maksud dibendung ini adalah membendung dari peringkat awal dari berlakunya jenayah ini dan bukannya mengambil tindakan yang berbentuk sementara dengan melaungkan idea agar sebuah rumah membuang bayi didirikan agar remaja yang terbabit meletakkan anak tak sah mereka di situ. Perkara ini akan mengundang ke arah tindakan negatif dan kurang berhemah kerana tindakan ini akan mengundang kepada berlakunya perzinaan kerana remaja ini tidak perlu gusar dan bimbang kerana jika perkara ini berlaku mereka ada tempat perlindungan bagi bayi-bayi yang mereka tidak inginkan kelahirannya.

Tindakan undang-undang harus diambil terhadap mereka yang terlibat dengan perzinaan ini kerana kesannya buruk sehingga mengundang kepada permasalahan buang bayi ini. Secara normalnya pasangan suami isteri yang mempunyai ikatan yang sah tidak akan membuang bayi mereka. Tindakan membuang bayi ini adalah hasil dari hubungan oleh pasangan yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan yang sah justeru melahirkan anak dengan tanpa mereka inginkan anak tersebut. Akibatnya bayi tersebut dibunuh semata-mata bagi menutup aib mereka di mana di sini dua perlakuan dosa besar dilakukan oleh mereka iaitu berzina dan membunuh.

Di Negara kita perlakuan tentang kesalahan zina ini adalah terbatas. Oleh kerana keterbatasan pelaksanaan hukum syarak dalam ruang lingkup negara Malaysia maka kesalahan zina lebih dikenali dengan persetubuhan luar nikah dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 di dalam Seksyen 23 manakala di Selangor pula di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Peruntukan di dalam Akta tersebut memperuntukan sekiranya

Mana-mana orang lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan orang perempuan atau lelaki yang bukan isterinya atau suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi rm 5000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan atau dihukum bagi mana-mana kombinasi hukuam itu.

Selain itu juga peruntukan tersebut menyebut bahawa seorang perempuan melahirkan anak yang sempurna sifat dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya atau hamil luar nikah akibat persetubuhan yang direlakan dan tahu kesalahan yang sedang dilakukannya maka kedua-dua keadaan tersebut telah mencapai tahap prima facie yang disabitkan Mahkamah Syariah boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman-hukuman itu.

Sewajarnya disebabkan perlakuan zina ini memberi kesan yang buruk pada masyarakat maka hukuman yang berat serta setimpal wajar dikenakan terhadap perlakunya samada lelaki atau wanita agar permasalahan yang timbul kesan dari perlakuan tersebut seperti masalah buang bayi ini tidak akan timbul pada masa-masa akan datang. Peruntukan undang-undang terhadap hukuman terhadap pesalah zina ini harus dipinda dan dikaji dengan memberikan hukuman yang berat agar permasalahan seumpama ini dapat dibendung selain kita membendung dari peringkat awal.

Selain membendung dari sudut undang-undang ibu bapa juga berperanan untuk menjadi ibubapa yang baik dan bertanggungjawab agar anak dapat dididik dengan baik. tanamkan nilai keagamaan dari kecil lagi. Tetapi ingat Jangan memaksa anak-anak remaja kerana desakan anda akan menolak mereka kepada teman yang lebih rapat. Mereka boleh terjerumus jika teman yang dipilih salah. Ibu bapa adalah orang terbaik untuk memberi pendidikan seks kepada remaja. Jika ibu bapa tidak melakukannya, mereka akan mencari ilmu ini dari kawan di internet. pasti perkara buruk berlaku.

kalau dahulu, kes buang anak ini mungkin ligat berlaku dibandar2 besar, seperti kuala lumpur yg kita tahu gejala sosialnya tinggi...tetapi apa yg menyedihkan sekarang adalah kes buang anak ini boleh berlaku dimana2 sahaja di seluruh malaysia. salah siapa?diri sendiri? masyarakat? ibubapa? pemimpin? tepuk dada tanya selera...siapa makan cili dia, dialah akan terasa pedasnya....wahai kaum wanita, mengapa kalian menjerumuskan diri kalian didalam kancah zina?? kalian sudah melakukan larangan Allah dengan berzina, inikan pula kalian juga menjadi seorang pembunuh!!! bangkitlah wahai kaum hawa...sedarlah...


Kes buang bayi, zina berleluasa berkesan diselesai ikut penguatkuasaan hukum syarak

CADANGAN Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara supaya bapa kepada bayi yang dibuang di negara ini dikenakan hukuman kasi bagi mengajar golongan lelaki yang terbabit supaya lebih bertanggungjawab, menarik perhatian saya.

Seingat saya cadangan ini bukanlah cadangan baru. Sebelum ini juga, ada cadangan agar lelaki yang mempunyai rekod jenayah seksual dipakaikan cawat besi bagi mengekang hawa nafsu dan naluri lelaki terbabit.

Begitu juga cadangan supaya lelaki yang disabitkan atas jenayah seksual diasingkan di suatu tempat yang jauh daripada wanita.

Semua cadangan di atas dibuat bagi mencari penyelesaian dalam menghadapi gejala sosial dan pembuangan bayi. Hukum yang dicadangkan itu pula tertumpu kepada pesalah yang melakukan kesalahan itu tanpa mengambil kira akar umbi kenapa gejala sedemikian berleluasa.

Memang benar semua hukuman di atas adalah dari sudut logik akal amatlah munasabah bagi mengekang gejala jenayah seksual ini. Memang tidak dapat dinafikan lagi lelaki yang dikenakan hukuman kasi itu tidak akan dapat melakukan hubungan seksual selepas itu.

Namun kemampuan akal fikiran tidak dapat menjangkau apa yang berada di luar kotak pemikiran seseorang atau apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Itulah sebabnya selain daripada dalil aqli ini, manusia perlu bergantung kepada dalil naqli iaitu apa yang ditetapkan oleh Allah SWT bagi manusia dan semesta Alam.
Allah Maha Pencipta dan Maha Mengetahui apa yang tersurat dan juga apa yang tersirat. Kebergantungan kepada hukum Allah ini adalah kewajipan bagi setiap umat Islam.

Di dalam al-Quran, Surah An Nur ayat 1-2 ada menyatakan yang bermaksud:
“Ini adalah satu surat yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum yang ada di dalamnya), dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya. Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah (rotanlah) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera (rotan). Dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang yang beriman.”

Oleh yang demikian adalah jelas di dalam Islam hukuman bagi orang yang melakukan perzinaan adalah dirotan 100 kali seperti diperuntukkan di dalam ayat di atas. Namun oleh kerana kita tidak sering merujuk kepada sumber perundangan Islam, muncul pelbagai saranan mengenai penyelesaian sesuatu perkara.

Yang lebih teruk lagi ialah apabila sesuatu perkara itu dirujuk kepada agama, timbul suara-suara yang mempertikaikan peranan agama di dalam mengawal moral atau akhlak manusia. Tidak keterlaluan juga dikatakan, ada sesetengah golongan meletakkan hak asasi manusia pada tempat terlalu tinggi sehingga menjangkaui kedudukan sebenar.

Bukanlah saya ingin mengetepikan hak asasi manusia, namun hak itu perlu diimbangi dengan tanggungjawab manusia khususnya umat Islam sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Berbalik kepada persoalan penyelesaian kemelut pembuangan bayi itu, sudah seharusnya kita berbalik kepada hukum Islam yang menjadi paksi dan jati diri kepada masyarakat Malaysia sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Islam mementingkan keadilan, keadilan di dalam Islam bukan saja diberikan kepada mangsa jenayah, malah juga kepada keluarga mangsa dan pesalah itu sendiri. Mangsa dan keluarga mangsa jenayah umpamanya dalam hal tertentu boleh mendapat ganti rugi atau ‘diyat’ daripada pesalah atau keluarga pesalah, malah kuasa mengampun pesalah juga ada pada mangsa serta keluarga mangsa berbeza dengan undang-undang sivil yang kuasa pengampunan berada di tangan ketua negara.

Sifat hukuman di dalam Islam iaitu mendidik dan menghalang perlakuan jenayah diulangi, berjaya menurunkan kadar jenayah di negara yang mengamalkan undang-undang Islam seperti Arab Saudi. Oleh hal yang demikian amatlah penting bagi kita merenung kembali apakah kaedah penyelesaian yang perlu kita sarankan bagi menangani gejala sosial di negara kita ini.

Dalam menggarap formula menangani gejala seksual yang berleluasa dan masalah sosial yang tidak nampak kesudahannya ini, amatlah penting bagi kita semua memahami bahawa kemampuan akal fikiran manusia adalah terbatas. Janganlah terlalu teruja dengan logik akal kerana akal itu sendiri adalah makhluk Allah.

Bukanlah saya tidak bersimpati atau prihatin nasib malang bayi yang dibuang itu, namun jalan penyelesaian yang dicari hendaklah dapat merungkai permasalahan sebenar hingga ke akar umbinya. Tidak ada hati yang gembira apabila melihat gambar bayi yang dibuang itu terpapar di dada akhbar.

Ibu bapa yang membuang bayi itu lebih teruk daripada haiwan yang menjaga dan mempertahankan anak-anaknya. Sistem perundangan Islam adalah jalan penyelesaian terbaik segala permasalahan yang sedang dan akan kita hadapi.


oh Ayah! oh Ibu! apakah dosaku???







masyaAllah...nauzubillah...marilah kita kembali kepada Allah...tinggallah perkara2 yg dilarang...sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang...marilah kita sama2 bertaubat dan memanjatkan doa kepada Allah....wallahu'alam.


sumber rujukan : persatuan peguam syarie malaysia, wikipedia
pusat pembangunan pondok berhad, wordpress.

Edicted by : J_H

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...